Sunday, January 12, 2014

    Perak merupakan negeri yang mencatatkan bilangan penagih paling tinggi bagi Januari hingga Oktober 2013 iaitu 1,009 orang (15.85%). Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas, berlakunya penurunan sebanyak 10.55%. Selain itu, Kedah merekodkan bilangan penagih dadah kedua tertinggi iaitu 924 orang, diikuti Selangor seramai 817 orang, Kuala Lumpur seramai 793 orang dan Pulau Pinang seramai 713 orang.
[Sumber:  Laporan Dadah Oktober 2013, AADK]


          Jadual diatas merupakan statistik bagi yang mendapatkan rawatan di AADK, bahkan keseluruhan penagih di seluruh Malaysia adalah dianggarkan hampir 64,000 orang (mungkin lebih lagi). Kos pemulihan oleh agensi kerajaan sahaja telah menelan belanja RM177 juta setahun pada 2008 sahaja. 
[Sumber:  Kos Ekonomi Penyalahgunaan Dadah, Jamal Ali, Salahuddin Hassan & Noor Al-Huda]

          Selain kos pemulihan, kos-kos ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan adalah kos rawatan kesihatan, kos perundangan dan sistem keadilan, kos program kesedaran, kos kerugian akibat jenayah dan kemalangan berkaitan dadah dan kos penurunan hasil cukai.

          Manakala kos sosial yang terpaksa ditanggung oleh semua pihak yang terlibat adalah dalam bentuk peningkatan kerugian harta benda, kehilangan nyawa akibat jenayah dan kemalangan membabitkan penagih dadah, kematian penagih dadah, penurunan produktiviti, kehilangan pekerjaan dan ketidakstabilan kedudukan kewangan.

          Artikel ini bukanlah bertujuan untuk membesar-besarkan sesuatu perkara yang 'telahpun diketahui umum', bahkan untuk memberi kesedaran umum bahawa perkara ini tidak sepatutnya hanya perlu dihadapi oleh penagih, keluarga, jiran atau agensi kerajaan sahaja.

          Langkah mencegah adalah lebih mudah dan lebih baik, akan tetapi, langkah mengubati dan rawatan yang berjaya juga dapat membantu semua pihak. Buktinya ialah, kini ramai juga jurulatih di Klinik AADK adalah terdiri dari bekas peserta sendiri dan kini mereka telah membantu ramai dalam kejayaan mereka.


      Umumnya ketagihan dadah dianggap suatu perkara yang tidak asing lagi bagi masyarakat seluruh dunia. Selain pelbagai kaedah rawatan dari segi mental dan spiritual diberi oleh pelbagai agensi swasta dan kerajaan, pelbagai jenis 'ubatan' disaran oleh pelbagai pihak. 

         Penyembuh dadah ini pula yang ada menyebabkan keinginan ('ketagihan') semula yang sukar pula ditinggalkan. 


Sekiranya keluarga anda terlibat dan anda rasa ujian ini sukar untuk dihadapi, anda bukan keseorangan..

Bahkan anda sedang menghadapinya dengan seluruh rakyat Malaysia !

Statistik menunjukkan suatu perkara yang mengejutkan:

"Dengan mengambilkira kos rawatan kesihatan, kos kehilangan produktiviti dan kos berkaitan jenayah, kos tidak langsung penagih dadah seramai 63,884 orang penagih dadah di Malaysia berjumlah RM8.47 bilion. Seterusnya jumlah kos keseluruhan kos langsung dan kos tidak langsung penagihan dadah ialah sebanyak RM8.65 bilion. Ini menjadikan kos perkapita penagihan dadah di Malaysia ialah RM332" 
[Sumber: Article Jurnal AADK[1]_Jamal2011.pdf]

Kos perkapita?

Bermakna setiap rakyat Malaysia membayar RM332 setahun untuk masalah berkaitan dadah !

Sama ada setiap orang rasa mereka berkaitan atau tidak, setiap rakyat Malaysia tetap mempunyai kaitan dengan masalah dadah secara tidak langsung.

Oleh sebab inilah dadah telah diisytiharkan sebagai “Musuh Nombor Satu Negara” pada 19 Februari 1983 oleh YAB Perdana Menteri (AADK, 2008).